Advertisement

Artikel Menarik Terkini

SUATU ketika dahulu, muzik rock kapak pernah menggegarkan industri hiburan tempatan apabila lagu-lagu yang dimainkan menjadi ikutan ramai. Muzik rock pernah berada di papan atas dalam senarai populariti, terutamanya sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Atas inisiatif itulah, kumpulan Tarantula mahu menghidupkan kembali genre muzik yang pernah mempunyai jutaan peminat di seluruh tanah air.
Kumpulan yang diasaskan sejak 2004 itu disertai enam orang iaitu Johari Jumadi selaku vokalis, Ahmad Faizal Ibrahim (gitar utama), Hazrai Wahid (gitar kedua), Khairul Azhar Ibrahim (gitar bass), Mohd. Talha Abdul Rahman (pemain drum dan Asmadi Zainal (pemain keyboard).
Menurut Johari, tujuan mereka mahu mengembalikan genre rock kapak adalah kerana lagu-lagunya yang mempunyai jutaan peminat dan masih diminati ingga kini.
"Walaupun kelihatan seperti sudah semakin tenggelam dalam industri muzik tanah air, tidak dinafikan genre ini masih mempunyai peminat.
"Selain itu, muzik yang dihasilkan juga lebih menarik kerana dekat dengan pendengar yang menjadikan lagu-lagunya mempunyai perasaan dan hidup," tambahnya.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan kumpulan ini termasuklah Jangan Merajuk, Merebut Waktu dan Selamat Tinggal Cinta.


PENGALAMAN lebih 25 tahun di dalam industri belum dapat memastikan mereka mendapat layanan istimewa. Walaupun pahit untuk menelan kesahihan tersebut, bagi vokalis kumpulan rock terkenal May, ini merupakan realiti yang harus mereka terima. Mengimpikan untuk mengadakan konsert khas sempena ulang tahun ke 25 kumpulan May, hasrat ini sudah tertangguh hampir setahun kerana tiada penaja yang mahu membantu mereka meneruskan konsert tersebut.
"Kami sebenarnya sudah memberi tarikh kepada peminat kami, untuk konsert ini diadakan. Bagaimanapun ketiadaan penaja memaksa kami menangguhkan dahulu konsert ini.
"Sampai bila itu tidak pasti kerana sehingga kini masih belum ada penaja yang memberikan kata pasti untuk menjayakan konsert kami," katanya.
Percaya mendapat galakkan yang baik dari peminat muzik mereka, namun Mus tetap tidak menolak untuk mengatakan masih ada peminat di negara ini yang tidak percaya kemampuan artis tempatan.
"Bila kita sudah selalu di sogokan dengan persembahan artis luar negara, secara automatiknya peminat akan berpendapat lebih berbaloi untuk menanggung kos tiket artis luar dari artis tempatan.
"Saya percaya peminat itu wujud, cuma mereka merasakan artis kita tidak terlalu eksklusif untuk dibayar. Itu yang menyebabkan mereka tidak mahu mengeluarkan duit untuk menonton konsert, kerana mereka tahu akan dapat menonton persembahan artis itu secara percuma melalui pelbagai saluran," katanya.
Berbanding dengan era 90-an dan tahun 80-an, Mus berkata, pada waktu itu peminat tidak mempunyai cara lain untuk bertemu penyanyi pujaan mereka selain melalui konsert.
"Pada waktu itu peminat menghargai penyanyi melalui kehadiran mereka ke konsert. Sebab itu susah untuk melihat kegagalan sesuatu konsert pada waktu itu.
"Bagaimanapun kini keadaan cukup mencabar. Artis khususnya penyanyi seperti silap percaturan mencari publisiti sehingga meletakkan kerjaya sebagai penyanyi begitu mudah didapati.
"Jika difikirkan, memang tidak salah untuk artis dan peminat saling berkenalan tanpa sempadan, tetapi jangan sampai menjejaskan periuk nasi kita sendiri," katanya.

Sukar cari penaja

Namun itu bukan hanya masalah May semata-mata. Banyak lagi nama-nama besar dalam dunia nyanyian terpaksa memadamkan impian mengadakan konsert gara-gara ketiadaan sumber kewangan.
Sikap penaja yang lebih memihak kepada artis luar, menjadi punca utama masalah tersebut.
Bagi pemilik Mewah Event Management, Aida Husin, soal ketiadaan penaja menyebabkan banyak konsert artis tempatan terbantut di tengah jalan.
"Memang benar, punca utama artis tempatan gagal meneruskan konsert bukan kerana takut tidak ada sambutan tetapi kekurangan penajaan.
"Jika tiada penaja bagaimana sesebuah konsert itu akan diteruskan? Tanpa promosi siapa yang akan mengetahui konsert tersebut dan tanpa penajaan juga sukar rasanya untuk kami menyediakan lokasi dan memberikan kemudahan bunyi terbaik sepanjang konsert," katanya.
Mengulas kehadiran artis luar yang terus memenuhi jadual persembahan negara, ada kata-kata terkilan dari penganjur konsert Lagenda itu.
"Mungkin benar artis luar kini lebih mendapat tempat di hati peminat. Tetapi jangan kita lupa artis kita sebenarnya yang sedang berusaha menggerakkan industri kita yang semakin nazak ini.
"Sungguh tidak adil untuk kita membelakangkan kemampuan artis kita. Sudah sampai masanya ada tindakan yang sewajarnya agar artis kita tidak terus diperlekehkan," katanya.
Ditanya sama ada masih relevan untuk artis di negara ini mengadakan persembahan sedangkan terdapat banyak saluran yang membolehkan peminat menonton secara percuma, Aida menjelaskan konsert juga penting untuk industri itu.
"Konsert merupakan pencapaian seseorang artis tersebut, setelah bergelar penyanyi akan ada satu tahap yang memerlukan mereka di uji dipentas sebenar," katanya.




KUALA LUMPUR, 13 Dis. - Singapura menjadi pasukan pertama menempah slot ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2012 selepas menundukkan Filipina 1-0 secara agregat selepas saingan separuh akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan itu terikat seri tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina, Sabtu lepas.

Penyerang Singapura, Mohamad Khairul Amri Mohd Kamal, menjadi wira pasukan 'The Lions' apabila menjaringkan gol tunggal selepas rembatan leret pada minit ke-19 gagal diselamatkan oleh penjaga gol Filipina, Eduard Ortalla Sacapano.

Kejayaan skuad Singapura melayakkan ke perlawanan akhir adalah kali keempat selepas layak pada tiga edisi terdahulu yang menyaksikan mereka muncul juara iaitu pada 1998, 2004 dan 2007.

Kekalahan itu sebaliknya membolehkan pasukan Filipina mengulangi pencapaian mereka mara ke separuh akhir pada edisi 2010 di Indonesia.

Skuad 'The Lions' bakal menentang pemenang antara Malaysia dan Thailand di perlawanan akhir yang dijadualkan diadakan secara timbal balik pada 19 dan 22 Dis ini.

Malaysia akan menentang Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, Thailand hari ini.

NEELOFA dan kontroversi bukan perkara yang asing. Baru reda dengan beberapa siri kontroversi termasuk kisah cinta bersama Hans Isaac, nama Neelofa, 23, kembali menjadi sebutan semula apabila baru-baru ini, pereka fesyen, Nurita Harith mendakwa Neelofa bersikap kurang ajar dan tidak profesional di akaun Twitter miliknya.
Status yang ditulis Nurita berbunyi: “Harap semalam merupakan kerjasama terakhir saya bersama Neelofa. Sangat kurang ajar dan tidak profesional.”
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu terbaharu itu, Kosmo! menghubungi Neelofa pada Isnin lalu iaitu sehari sebelum dia terbang ke Dubai untuk bercuti bersama keluarganya.
Kosmo!: Apakah yang berlaku sehingga Neelofa dikatakan kurang ajar dan tidak profesional oleh pereka fesyen Nurita Harith di akaun Twitter miliknya?
NEELOFA: Maaf. Saya tidak mahu komen tentang perkara itu. Saya mahu ke Dubai bercuti dengan keluarga. Jadi, saya mahu pergi dalam keadaan yang gembira.
Selain isu dikatakan tidak profesional, baru-baru ini ada yang mengkritik tentang betis anda besar seperti batang pisang. Apakah komen anda?
Kelakarlah kalau nak komen tentang kaki sendiri. Saya jenis yang pakai apa sahaja yang saya suka dan mengikut keselesaan saya. Setakat ini saya gembira dengan apa yang saya pakai dan bersyukur dengan anugerah Allah kepada saya.
Apakah reaksi anda apabila terus dihimpit kontroversi?
Saya penat sebenarnya, sebab ada sahaja kontroversi yang tak berpenghujung. Saya tidak kacau hidup orang lain. Saya tidak faham kenapa ada orang yang ingin menyerang saya. Mungkin kerana cemburu atau tidak senang melihat orang lain senang. Bagi saya, ini dugaan yang menguatkan saya lagi sebagai anak seni.
Adakah segala dugaan yang datang pernah mematahkan semangat anda untuk teruskan kerjaya dalam bidang seni?
Tidak. Semakin banyak dugaan yang datang, saya semakin kuat. Bukan mudah untuk menjadi artis. Sebelum ini saya tidak faham orang kata susah menjadi artis, tetapi bila saya masuk dunia seni baru saya faham. Mental dan fizikal perlu kuat dan saya harus sentiasa bersedia.
Banyak pihak mengkritik mutu lakonan anda, tetapi ramai yang menyukai gaya santai anda sebagai pengacara dalam program Meletop. Adakah anda akan memberi lebih fokus terhadap bidang pengacaraan selepas ini?
Saya meminati kedua-dua bidang itu. Saya percaya dengan pengalaman yang lebih banyak dalam bidang lakonan, saya lebih tahu banyak perkara dan mutu lakonan juga akan bertambah baik. Demi peminat dan kerjaya, saya memilih watak yang berbeza dan cuba memberi yang terbaik. Sejujurnya, saya selesa juga menjadi pengacara dan memang ada banyak tawaran mengacara datang. Cuma, buat masa ini, saya hanya mahu memberi fokus kepada program Meletop dan Nona sahaja.
Tahun 2012 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, apakah yang anda boleh katakan tentang kerjaya seni anda sepanjang tahun ini?
Tahun 2012 boleh dikatakan tahun yang produktif untuk saya. Jika saya toleh ke belakang, banyak perkara yang berlaku dan saya pelajari. Tahun hadapan saya akan bekerja lebih kuat dan Alhamdulillah, saya telah ditawarkan berlakon dalam tiga buah filem salah satunya berjudul Pilot Cafe.
Kenapakah anda memilih Dubai sebagai destinasi percutian?
Ini kali ketiga saya akan ke Dubai dan percutian ini dirancang oleh keluarga. Saya akan berehat selama dua minggu sebelum bekerja semula seperti biasa. Saya memang suka Dubai, begitu juga dengan keluarga saya.
SEREMBAN — Dua bekas ahli lembaga Koperasi Aristokrat Malaysia Berhad masing-masing didenda RM50,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah kerana mengemukakan diri sebagai koperasi sedangkan koperasi itu belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), empat tahun lalu.
Ahmad Fauzi Daud, 41 dan kakaknya Rosliana, 44 turut menghadapi hukuman penjara masing-masing enam bulan dan tiga bulan jika gagal membayar denda itu.
Hakim Datin M. Kunasundary bagaimana pun membenarkan denda dan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan kedua-dua tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengemukakan diri sebagai ahli lembaga koperasi tersebut di sebuah bank di sini bagi membuka akaun semasa atas nama koperasi sedangkan koperasi tersebut belum didaftarkan dengan SKM.
Ahmad Fauzi yang bertindak sebagai pengerusi manakala kakaknya sebagai setiausaha koperasi tersebut melakukan kesalahan itu di RHB Bank Berhad cawangan Taipan Senawang, di sini, pada 5 Jun 2008.— BERNAMA
BALIK PULAU 12 Dis (Bernama) - Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui mayat pembantu teknikal Kejohanan Perahu Naga 2012 yang dilapor hilang ketika berenang di Empangan Teluk Bahang Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zin berkata, mayat Jacob Issac Fletcher, 19, ditemui terapung pukul 8.15 pagi berhampiran tempat kejadian.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. - BERNAMA

IPOH 12 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan empat kejadian vandalisme ke atas kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) daripada tujuh yang dipasang di beberapa lokasi, antara Oktober dan November lalu.
Pengarah JPJ Perak, Ramli Awg Seberang berkata, ia melibatkan kamera yang dipasang di Km205.6 berhampiran Kamunting dan Km373.2 di Slim River, kedua-duanya di Lebuh Raya Utara-Selatan yang disembur cat merah dan dipercayai ditumbangkan.
Beliau berkata, sebuah lagi kamera di Jalan Pasir Putih di sini juga dipercayai ditumbangkan dan sebuah lagi di Sungkai disembur cat hitam.
"Kita kategorikan semua kes ini sebagai kes vandalisme berat," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai AES kepada jabatan dan agensi kerajaan, pihak media dan badan bukan kerajaan di sini hari ini.
Ramli Awg berkata, pihak syarikat penyedia AES telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Setakat ini katanya, tiada tangkapan dibuat terhadap pihak yang dipercayai sengaja melakukan perbuatan berkenaan. - BERNAMA
Advertisement